WANITA : AKAL SENIPIS RAMBUTNYA
Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati dan perasaan lelaki akan resah, masih mencari walau ada segalanya. Apa yang tiada dalam syurga? Namun Adam tetap rindukan Hawa. Pada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri dan puteri. Dijadikan wanita daripada tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki, tetapi seandainya lelaki itu sendiri tidak lurus….., mana mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang yang lurus.
Luruskanlah wanita dengan jalan yang ditunjukkan oleh Allah SWT. Kerana mereka dicipta sebegitu rupa oleh Allah. Didiklah mereka dengan panduan dariNYA. Janganlah cuba menjinakkan mereka dengan harta kerana nantinya mereka akan semakin liar. Janganlah hiburkan mereka dengan kecantikan, kerana nantinya mereka akan semakin derita. Yang sementara itu tidak dapat menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada Allah, zat yang kekal. Di situ punca bagi kekuatan dunia! Akal senipis rambutnya.
Tebalkan ia dengan ilmu. Hati serapuh kaca. Kuatkanlah ia dengan iman. Perasaan selembut sutera. Hiasilah ia dengan akhlak. Suburkanlah ia kerana dari situlah nantinya mereka akan lihat Nilaian dan Keadilan Tuhan. Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan. Ia bukan diskriminasi Tuhan, sebaliknya di situlah kasih dan sayang Tuhan. Wanita yang lupa hakikat kejadiannya Pasti tidak akan terhibur dan tidak akan menghiburkan. Tanpa iman, ilmu dan akhlak, mereka tidak akan lurus. Bahkan akan semakin membengkok. Itulah akibatnya andai wanita tidak kenal Tuhannya.
Bila wanita menjadi derhaka, pasti dunia lelaki akan menjadi huru-hara. Lelaki pula janganlah mengharapkan ketaatan semata-mata. Tapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Ilahi, Pimpinlah diri kepadaNya. Jinakkanlah diri kepada Allah, Nescaya akan jinaklah segala-galanya di bawah pimpinanmu, Janganlah mengharapkan isteri semulia FATIMAH AZ-ZAHRA, Andai peribadimu tidak sehebat SAIDINA ALI KARAMALLAHUWAJHAH!!!
Amin ya rabbal 'alamin.
Wassalam.